Friday, March 19, 2010

Petua Memilih Pasangan

Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita.
Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang
lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia
hendaklah masuk meminang dan berkahwin.

Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut
sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada
keburukan dan maksiat.

 Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini
dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga
menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing.
Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka,
tidak membawa kepada pernikahan.

Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan
tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat
mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.

Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada
orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah
Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang
ramai di akhirat kelak.

Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai
persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan
untuk meniti alam berumahtangga.

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum
memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan
pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada
agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang
atau belum dan berbagai-bagai lagi.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya,
kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana
hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi
kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan
hitam yang pecah
hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."

Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok
rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni
ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang
berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh
Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw
menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang
yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat
beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan
hartanya dimurahkan Allah swt.

Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya
antaranya ialah:

1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh
beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah
dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur
dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah
serta banyak mengingati Allah swt.

2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus
rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan
dengan manusia.

3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta
membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak
keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.

4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat
sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu
dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.

5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami
dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan
tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara
maruah suami.

Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang
kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. eseorang wanita yang
kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti
tinggi.

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang
mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah
keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri
ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita
solehah bererti dia telah mendapat satu ikmat Allah yang besar.
Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu
Abbas r. a:

"Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia
telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang
selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar
dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak
menzalimi suaminya."

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan
keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian
daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:

"Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada
Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang
solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap
juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di
rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya."

Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang
suami jika ia memiliki isteri yang solehah.

Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada
keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan
mengukuhkan persaudaraan Islam.

Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak
yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan
orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat
melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat, maka
sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran
dan akal."

Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan
isteri berbanding dengan janda.

Rasulullah saw bersabda:

"Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik
tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang
dalihnya dan mudah meredhai kerjanya."

Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan
isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil
penguniaan anak yang soleh dan solehah.

Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang
lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal
isterinya agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang
keuzuran yang boleh menghalangnya dari mengandung dan bersalin.

Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu, pada umumnya
boleh dijadikan ibunya sebagai perbandingan. Seandainya ibunya
mempunyai ramai anak, pada kebiasaannya gadis itu pun akan
mewarisi ibunya, tetapi tidak semua tanggapan ini benar,
kadang-kadang mengikut baka dirinya pula.

Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah
tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat
dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa
hasil kasih saying antara kedua suami isteri. Rasulullah saw,
begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calun
isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda:

"Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak,
sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para
Nabi pada Hari Kiamat nanti."

Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya, baginda
bangga dengan umat yang ramai kerana di situlah letaknya kekuatan
agama Islam.

Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah
dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan
menyakiti hati peminang pertama, memecah belah hubungan
kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw bersabda
yang maksudnya:

"Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia
membeli barang yang sedang dibeli saudaranya, dan meminang
pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan."

Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan
dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih
gadis.

Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda
pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah
perlindungan kepada janda dan anak-anak.

Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang, sebab itulah
pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau
sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan
perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan
yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang
berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram
terhadap orang yang beriman."

"Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan
lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan
wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki
yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik."

Ayat di atas patut menjadi iktibar, terutama kepada para lelaki
dan wanita yang ingin berkahwin. Kepada yang sudah berumahtangga,
ambillah iktibar ini dan muhasabah kepada diri kita kembali
apabila menghadapi masalah dalam rumahtangga dan mengapa Allah
swt pertemukan jodoh kita dengan pasangan kita sekarang.

Kita ni hidup hanya sekali..so kumpullah amalan sebanyak mungkin
agar tak menyesal di kemudian hari...
Dunia ibarat laut, semakin banyak diminum, semakin haus...


thanks for reading;)

0 orang menginap di sini: